2hb Ogos 2001

Virus Internet sebar dokumen kerajaan

KUALA LUMPUR, Rabu – Beribu-ribu dokumen milik kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat swasta, termasuk dokumen sulit, disebarkan kepada pengguna Internet lain menerusi e-mel, akibat serangan virus SirCam.
Siasatan Berita Harian mendapati antara fail penting yang disebarkan tanpa pengetahuan pemiliknya, ialah dokumen rasmi kementerian, belanjawan, manual lukisan, maklumat ujian tertentu, pelbagai senarai termasuk nama penghutang dan pemiutang.
Fail berkenaan dipercayai milik Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Perbendaharaan Negara, Biro Angkasa dan Jabatan Perancang Bandar.
Siasatan juga mendapati ada fail berpunca dari terminal milik kerajaan negeri seperti Terengganu, Selangor dan Sabah.
Sistem komputer institusi pengajian tinggi seperti Universiti Sarawak Malaysia (Unimas), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga dipercayai menjadi mangsa virus SirCam.
Seorang pentadbir sistem yang dihubungi mendakwa, virus berkenaan akan mengimbas kandungan sistem komputer pengguna sebelum menghantar 8,000 salinan setiap fail dokumen jenis Microsoft Word, Microsoft Excel, Winpad dan Winzip kepada pengguna yang disenaraikan dalam sistem e-mel komputer terbabit tanpa pengetahuan pemiliknya.
Beliau berkata, ancaman virus itu masih berleluasa kerana pihaknya masih menerima banyak e-mel dengan virus berkenaan setiap hari, walaupun pelbagai usaha, termasuk menapis e-mel dilakukan bagi menghalang virus berkenaan.
“Antara jam 12 pagi hingga 5 petang hari ini, kami menerima sebanyak 1,264 e-mel dengan dokumen peribadi akibat serangan virus SirCam.
“E-mel berkenaan berpunca dari agensi dan jabatan kerajaan Pusat serta negeri dan swasta,” katanya di sini hari ini.
SirCam yang dikategorikan sebagai virus komputer jenis worm, dikenal pasti sejak 17 Julai lalu. Virus sama yang turut dikenali sebagai W32.Sircam dan W32/SirCam, kini dikategorikan sebagai berisiko tinggi oleh syarikat antivirus antarabangsa berikutan kesan serangan yang menyeluruh. Virus itu mempunyai keupayaan menghasilkan salinan fail dan menghantar kepada penerima lain secara automatik.
Penerima yang membuka e-mel yang dicemari virus itu akan diserang, sekali gus menyebabkan 8,000 salinan fail dalam sistem mangsa disebarkan kepada orang lain.
Sementara itu, satu lagi virus, Code Red dijangka menyerang sistem komputer bermula hari ini.
Virus itu seperti jenis SirCam, dapat disebarkan dengan pantas dan mengancam menjejaskan trafik Internet.
Code Red menjejaskan beberapa ratus ribu komputer, terutama tapak Internet milik agensi kerajaan Amerika Syarikat ketika ia menyerang awal bulan lalu dan hanya diketahui 19 Julai lalu.
Virus ini dikatakan akan menyerang server Internet dengan mengambil kesempatan kelemahan perisian Microsoft Internet Information Server versi 4.0 atau 5.0.
Kesan Code Red lebih buruk kerana ia akan menghapuskan server web dan failnya sekali selain menghantar sebarang maklumat milik sesiapa saja termasuk jabatan kerajaan dan syarikat kepada pengguna Internet lain.